Friday, January 21, 2011

Tekad Anak Gelandangan.

Babak 1

Situasi: Tanah Perkuburan

Dari liang lahad yang baru selesai digali, sekujur mayat yang berbalut dengan plastik hitam dibawa turun ke bawah. Hanya tiga orang yang membantu menguruskan pengebumian, termasuk seorang Imam. Masing-masing memakai sarung tangan dan penutup muka. Di tebing kubur, Aizah yang sedang menggendong anaknya Lili, Syafik dan Ika berdiri memerhati. Aizah menangis sambil tangan kiri mengusap kepala Ika yang berdiri di sisinya.

Talkin terakhir dibacakan oleh Imam.

Imam: Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu. Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak diseksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW. Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin. Al-Fatihah…

Masing-masing meraup wajah setelah bacaan selesai dan mula beransur dari kawasan perkuburan.

Imam: Dah tinggal empat beranak aje kamu sekarang ni. Boleh ke kamu tanggung belanja anak-anak?

Aizah: Selama ni pun saya saja yang bekerja, Pak Imam. Selagi tulang empat kerat ni masih berguna, saya teruskanlah mana yang termampu.

(Pak Imam seluk kocek seluar, keluarkan not RM50 lalu dihulur pada Aizah)

Imam: Nah, ambillah duit ni, buat tampung mana-mana yang perlu.

(Aizah terkejut)

Aizah: Eh? Nak buat apa susah-susah ni Pak Imam? (Batuk) Saya masih ada simpanan, cukup untuk kami berempat.

Imam: Tak apa…ini sedekah, ambillah lagipun kamu tu tak sihat. Sekurang-kurangnya duit ni boleh buat beli apa-apa yang patut.

(Aizah sambut huluran Pak Imam, kemudian Pak Imam tunduk dihadapan Syafik sambil keluarkan not 5 ringgit lalu diberikan padanya)

Imam: Ini untuk kamu dengan adik kamu . (Kepala Syafik diusap) Belajar elok-elok, jadi anak yang baik. Dengar cakap mak kamu tu, jangan nakal-nakal ya… (senyum)

(Syafik angguk, senyum. Pak Imam berdiri semula)

Aizah: Terima kasih Pak Imam, untuk semua ni. Dalam pada orang memandang buruk saya, tapi masih ada lagi yang punya hati. Tak tau macam mana saya nak balas pertolongan Pak Imam pada saya hari ini. (Aizah sebak)

Imam: Segala yang baik semuanya datang dari Allah. Bersabarlah dan jangan sesekali lupa padaNya kerana Allah hanya menguji hambanya yang disayangi…

(Aizah angguk, mereka sudahpun melewati sebuah van jenazah, dia berdiri pada tingkap van. Halim sudah berada di tempat duduk pemandu)

Imam: Halim, kamu tolong hantarkan Aizah dengan anak-anaknya balik ya, sebab aku cuma bawak motor je tu.

(Halim angguk)

Halim: Boleh, tak ada masalah…

(Aizah dan anak-anaknya naik ke dalam van jenazah, Pak Imam membantu menutup pintu. Pak Imam masih berdiri di muka tingkap untuk berpesan sebelum mereka beredar)

Imam: Tidak ada orang yang lebih bahagia dari orang yang beriman kepada Allah. Anggaplah semua urusan itu mudah, dan bersabarlah dengan kepahitannya…Jaga diri kamu dan anak-anak, Aizah.

Aizah: InsyaAllah, selagi hayat saya masih ada…

Imam: Ok Halim, hati-hati memandu…Assalamualaikum.

Halim dan Aizah: Waalaikumussalam.

Lalu van jenazah dipandu keluar dari perkarangan tanah perkuburan.







No comments:

Post a Comment