Saturday, January 22, 2011

Babak 13

Situasi: Sebuah kawasan bandar.

Aizah berjalan di deretan kedai-kedai untuk mencari kerja. Dia memasuki beberapa kedai untuk bertanyakan tentang pekerjaan. Pada mulanya dia gagal. Namun setelah puas berjalan, dia ternampak sebuah kedai pakaian yang tertulis “Pekerja wanita diperlukan segera”, Aizah terus mencuba nasibnya.

Aizah: Sini masih ada kerja kosong tauke?

Ah Seng: Ada, itu iklan belum turun makna ada lah…

Aizah: Kerja apa tu tauke?

Ah Seng: Kerja kemas-kemas kedailah…jaga kedai…you mau kerja ka?

Aizah: Mau, itu gaji berapa tauke?

Ah Seng: Tujuh ratus, kerja pukul lapan balik pukul tujuh. you apa pandai? you pandai jahit?

Aizah: Boleh sikit-sikit tauke.

Ah Seng: Kita sini ambik baju orang alter, kalau you pandai jahit lagi bagus. Bila you mau mula kerja?

Aizah: Bila-bila boleh tauke, saya tak kisah…

Ah Seng: Esoklah ha…sekarang sudah petang. Esok you datang pukul lapan ha…

Aizah: Ok..ok…

Ah Seng: Eh, you siapa nama?

Aizah: Saya Aizah tauke…saya balik dulu tauke

Ah Seng: Ya…ya…

(Aizah keluar dari kedai penuh kegembiraan. Sebelum pulang dia sempat singgah ke sebuah kedai menjual beg sekolah. Sempat dibelinya dua buah. Satu untuk Syafik, satu untuk Ika. Setibanya di rumah, Aizah nampak ada selipar Miah di luar rumah. Dia segera menguak pintu. Miah keluar sambil menyeka air matanya)

Miah: Aizah…

Aizah: Kenapa ni Miah, kenapa kau nangis ni?

Miah: Lili…pergi tengok Lili…

(Aizah terlepas beg yang dijimbitnya, dia berlari menuju ke biliknya)


Bersambung…

Babak 12

Situasi: Di bilik Aizah.

Aizah duduk di atas sejadah. Bertelekung sambil memohon doa pada Yang Esa.

Aizah: Ya Allah, Ya Tuhanku. Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mendengar. Yang memelihara seluruh kejadian dilangit dan dibumi. Berikanlah aku kekuatan dalam menghadapi segala dugaanMu Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu yang lemah, yang sentiasa mahukan petunjuk dariMu sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kesusahan dan kesedihan. Aku berlindung kepadaMu dari terbelit oleh hutang dan tertindas oleh orang lain. Ya Allah bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari kezaliman…Amin Ya Rabbal A’ lamin…

(Selesai solat, Aizah capai sebuah Al Quran dari sebuah rak disinya, ketika itu Syafik masuk ke bilik, duduk mencangkung)

Syafik: Ada orang datang bu…

Aizah: Siapa?

Syafik: (Jungkit bahu) orang tu selalu datang.

(Aizah mengerut dahi tapi tetap bangun dan melangkah menuju ke pintu yang sudah sedia terbuka)

Mr. Mohan: Hello Aizah!

Aizah: Eh? Mr Mohan…nak ambik duit sewa rumah ya?

Mr. Mohan: Iyalah…sudah cukup bulan bukan?

Aizah: Ya saya tau, Mr Mohan tak mau masuk?

Mr Mohan: Tak apa, tak apa…saya tunggu luar.

(Aizah masuk ke biliknya. Diambil beg duit dari dalam laci. Dikeluarkan not tiga ratus lima puluh, hanya lima puluh ringgit sahaja yang tinggal. Aizah melepaskan nafasnya. Disimpan semula beg duit dan terus berlalu ke hadapan)

Aizah: Nah Mr Mohan, tiga ratus lima puluh ya.

Mr Mohan: Terima kasih, terima kasih. Saya banyak suka sama awaklah, tiap-tiap bulan sewa mesti tak miss bayar. Rumah lain saya banyak susah mau ambik sewalah. Mesti lambat.

Aizah: Hutang mesti kena bayar Mr Mohan. Kalau tak bayar, nanti mati susahlah…

Mr. Mohan: Ya, ya…betul-betul…eh, saya dengar suami awak sudah mati.

(Aizah angguk perlahan)

Aizah: Sudah seminggu lebih Mr Mohan.

Mr Mohan: Banyak kesianlah sama awak, mesti banyak mau sabar ya?

Aizah: Terima kasih Mr Mohan.

Mr Mohan: Oklah…saya balik dulu Aizah, terima kasih…

Aizah: Sama-sama.

Friday, January 21, 2011

Babak 11

Situasi: Rumah Aizah.

Aizah menepuk anaknya Lili yang baru tidur. Dirasa kepala Lili yang mulai hangat. Kemudian dilihatnya tangan Lili yang sudah mula ditumbuhi bintik-bintik merah. Dia mengeluh. Aizah menangis sambil mengambil tuala kecil yang telah direndam dalam air. Di perah lalu diletakkan pada kepala Lili. Air mata Aizah mengalir.

Syafik: Eh? Kenapa ibu menangis?

(Tiba-tiba Syafik dan Ika muncul dari pintu)
Aizah: Anak ibu dah balik? Tak perasan pun…

Syafik: Syafik ingatkan ibu tak ada, ibu tak kerja?

(Aizah menggeleng)

Syafik: Ibu sedih ke?

(Kepala anaknya diusap)

Aizah: Kalau ibu tak ada, Syafik mesti jaga adik-adik ya…

Syafik: Ibu nak pergi mana?

(Aizah tidak menjawab soalan anaknya, diambil beg yang masih disandang Syafik)

Aizah: Ibu lupa nak belikan beg Syafik…

Syafik: Tak apa…Syafik dah betulkan dah…

(Aizah belek beg sekolah Syafik yang cuma diletakkan pin pada bahagian yang terkoyak)

Aizah: Tak tahan ni…nak kena beli yang baru jugak ni…

Ika: Ika pun nak beg jugak…

(Tiba-tiba Ika yang berdiri di sisi ibunya bersuara)

Aizah: Beg Ika kan boleh guna lagi…

Ika: Ika nak beg baru…yang ada gambar kartun tu…

(Aizah senyum)

Aizah: Iyalah…nanti ibu belikan, dah pergi salin baju, lepas tu makan.

(Ika melonjak kegembiraan)

Ika: Yeaaa! Dapat beg baru!!! (Ika terus berlalu keluar)

(Syafik mendekati ibunya)

Syafik: Ibu nak tinggalkan Syafik dengan Ika dengan Lili ke?

Aizah: Siapa kata…

Syafik: Tadi Ibu suruh Syafik jaga adik?

Aizah : (Senyum) Iyalah..kalau ibu keluar ke, Syafik kenalah jaga adik-adik. Takkan Ibu nak bawak semua, penatlah ibu nak jaga…

Syafik: Tapi ibu balikkan?

Aizah: La…ibu mestilah balik…

(Syafik senyum dan terus berlari keluar, Aizah hanya memerhati dengan hati sebak)

Babak 10

Situasi: Di gerai Aizah

Lili sedang leka bermain di tepi gerainya.

Aizah: Lili, tak mau main pasir tu, kotor. (Lili bangun, beralih dekat dengan ibunya)

Seorang budak berumur lingkungan enam tahun dengan berbaju sekolah tadika berdiri di hadapan gerai Aizah.

Aizah: Adik nak beli kuih?

(Budak itu menggeleng)

Aizah: Habis tu adik nak apa?

Budak: Mak cakap tak boleh beli kuih acik.

Aizah: Kenapa? Acik buat kuih sedap tau…

Budak: Mak cakap kalau makan kuih acik boleh mati.

Aizah: Eh…kenapa pulak macam tu?

(Pada waktu itu Rasyidah dan Pak Ya muncul)

Rasyidah: Hei Boboy! Kau buat apa pulak kat situ?

(Rasyidah meluru ke arah anaknya)

Rasyidah: Kau hasut anak aku ni beli kuih kau ya Aizah?

Aizah: Tak…anak kau memang tak nak beli kuih aku ni Syidah.

Rasyidah: Ah! Alasan kau je tu. Tengok Pak Ya, anak saya pun dah nak jadi mangsa dah ni, macam ni pun Pak Ya tak nak ambik tindakan?

Aizah: Tindakan apa pulak ni?

Pak Ya: Aizah…ramai orang kat sini dah tau pasal penyakit Aizah tu. Aizah tak boleh buat jualan macam ni, Aizah dah merisikokan orang lain.

Aizah: Saya cuma cari rezeki saja Pak Ya, kalau tidak, mana saya nak cari duit, tanggung belanja anak-anak, sewa rumah lagi…orang lain takkan faham.

Rasyidah: Masalah sendiri aje kau kira, masalah orang yang sakit mata tengok kau berjual kat sini, kau tak nak ambik tau?

Pak Ya: Saya terpaksa halang awak dari terus jual kuih ni Aizah. Saya perlu fikirkan soal keselamatan orang ramai. Saya cuma tak nak nanti, orang lebih ramai buat aduan, nanti orang kata saya ni tak buat kerja pulak.

Rasyidah: Betul cakap Pak Ya tu, tak kiralah kau masak guna sarung tangan ke, sarung kaki ke, sarung muka ke…tapi kalau virus tu nak masuk dalam masakan kau dia masuk jugak. Entah-entah anak-anak kau tu pun dah bervirus agaknya.

Aizah : Syidah, ni hal aku je, kau jangan nak babit-babitkan anak-anak aku pulak. Dia orang tu tak berdosa.

Rasyidah: Ada ke aku bercakap soal dosa?

Pak ya: Dah, tak payahlah korang nak bertengkar kat sini. Malu dek orang je. Aizah, saya perintahkan awak tutup gerai awak ni. Tak payah bukak lagi esok. Banyak lagi kerja lain yang awak boleh buat.

(Aizah terduduk)

Aizah: Allahuakhbar…

Pak Ya: Saya minta maaf Aizah. Keputusan ni untuk semua orang.

(Aizah diam tidak menjawab, hanya memerhati mereka pergi dengan pandangan sayu)

Rasyidah: Meh Boboy, nak pergi sekolah pun sempat lagi menyinggah ya.

(Pantas tangan Rasyidah memiat telinga anaknya, sambil menyeret anaknya pergi)

Babak 9

Situasi: Sebuah bilik gerakan persatuan flat.

(Rasyidah berdiri marah-marah pada ketua persatuan yang kebetulan ada di situ)

Rasyidah: Saya bukannya apa Pak Ya, tadipun saya ada nampak sorang budak, nyaris-nyaris je nak makan kuih Aizah tu, nasib baik saya cepat halang. Mana kita tau kalau-kalau virus AIDS tu ada dalam kuih yang dia buat tu ke. Dia tu dah termasuk dalam kategori pesakit kronik tu tau.

Pak Ya: Boleh ke sesenang tu, virus tu berjangkit? Pak Ya pun ada baca pasal AIDS ni, kan ke penyakit ni berjangkit melalui darah?Kalau setakat bersentuh kulit ni tak berjangkit penyakit tu…

Rasyidah: Mana Pak Ya tau? Entah-entah jari dia terluka ke masa masak. Lepas tu darah dia teramasuk pulak dalam masakan tu. Pak Ya tau tak? Orang kalau nak kebumikan mayat pesakit AIDS ni siap dengan sarung tangan, sarung muka. Lepas tu tangan tu kena pulak cuci dengan Clorox, punyalah takut dengan
dengan penyakit ni. Itu pesakit yang dah mati, inikan pulak pesakit yang masih hidup. Virus ni benda yang tak nampak Pak Ya…

Pak Ya: Yang tak nampak tu yang susah nak cakap…tapi betul jugak kata kamu tu. Iyalah, apa-apapun kena fikir keselamatan orang lain jugak. Marilah kita pergi bagitau dia suruh tutup gerainya tu.

Rasyidah: Dah moh cepat…benda macam ni tak boleh berlengah. Entah dah berapa ramai dah beli kuih tu.

(Mereka bergegas ke gerai Aizah)

Babak 8

Situasi: Sebuah gerai berdekatan dengan flat.

Menggunakan sedikit simpanan yang ada, Aizah membuka sebuah gerai untuk menjual nasi lemak dan kuih muih setiap pagi. Tapi jualannya tidak mendapat sambutan. Ada yang beli hanya dari pengunjung luar yang tidak tahu tentang penyakitnya. Rasyidah, yang juga salah seorang penghuni flat, ternampakkan seorang pembeli yang baru sahaja membeli kuih di gerai Aizah terus saja menegur lelaki itu.

Rasyidah: Dik, dik, kejap-kejap…awak tau tak orang yang jual kuih tu ada AIDS. Awak tak takut ke beli kuih dia?

Lelaki: Iya ke? Ishh…Manalah saya tau…

Rasyidah: Hah ni akak nak bagitau. Tak usahlah awak makan kuih tu. Awak tak perasan ke tangan dia tu ada tumbuh kudis-kudis? Hisshh…kalau akak, akak geli…

Lelaki: Lah, saya tak perasan pulak. Saya buang ajelah kuih ni nanti.

Rasyidah: Hmm…elok sangat lah tu, lagi elok kalau awak pergi mintak duit awak balik. Buat rugi je beli kuih tu, bukannya boleh dimakan.

Lelaki: Tak apalah, saya kira sedekah ajelah duit saya tu, terima kasih kak bagitau.

(Rasyidah mengangguk. Lelaki itu berlalu pergi. Rasyidah tergesa-gesa melangkah ke gerai Aizah)

Rasyidah: Hei Aizah, kau ni tak reti-reti bahasa ke? Orang lain tak boleh makan air tangan kau tau tak? Kalau kau jual kuih macam ni, makin ramai orang lain yang tak tau pasal penyakit kau tu beli pulak kuih kau ni…kau tak rasa bersalah ke?

Aizah: Aku nak rasa bersalah apa pulak Syidah. Bukannya aku jual benda haram. Lagipun kalau kau takut sangat berjangkit, ni aku dah pakai sarung tangan dah ni. Aku memasak pun aku pakai sarung tangan semua ni.

Rasyidah: Kau ni memang degil tau Aizah…Dah lah degil, menyusahkan orang pulak tu sedarlah diri kau tu berpenyakit. Tak apa, aku nak adukan perkara ni pada Persatuan flat ni. Tau lah nasib kau nanti.

(Rasyidah terus berlalu pergi. Aizah mengeluh keresahan)

Babak 7

Situasi: Rumah Aizah.

Ketika berada di hadapan pintu, Aizah terdengar suara anaknya menangis, dalam kelam kabut cepat-cepat dibuka pintu rumah. Kelihatan Syafik sedang memangku Lili yang masih merengek. Dahinya berdarah. Di sisi Syafik, Ika turut menangis.

Aizah: Lailahailallah…apa dah jadi ni Syafik? (Cepat-cepat dipangku Lili)

Syafik: Cik Miah tadi hantar Lili masa Syafik balik sekolah.

Aizah: Iyalah…kenapa boleh jadi sampai berdarah-darah ni?

Syafik: Tak tau

Aizah: Masa Cik Miah hantar, kepala Lili dah luka?

(Syafik angguk)

Aizah: Pergi ambik kain bersih dengan air

(Aizah memerintah Syafik. Syafik bingkas bangun)

Aizah: Ika…kenapa pulak menangis ni?

Ika: Ika takut…

Aizah: Takut apa?

Ika: Takut Lili jadi macam ayah…

Aizah: Tak, tak jangan takut…sikit je ni, kejap lagi bubuh ubat baiklah…

(Syafik sampai membawa kain dan semangkuk air)

Aizah: Ambik kotak ubat atas peti sejuk Syafik

(Syafik berlalu semula ke dapur. Aizah membersihkan luka anaknya. Lili sudah berhenti menangis. Hanya tersedu-sedu menahan sakit. Syafik kembali membawa kotak kecemasan)

Aizah: Macam manalah boleh jadi macam ni? Terhantuk ke apa ni?

Syafik: Cik Miah cakap Lili jatuh dalam bilik air.

(Tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam. Syafik berlari ke pintu. Miah sedang berdiri di situ)

Syafik: Ibu dah balik Cik Miah.

(Miah menjengah kepalanya ke dalam rumah)

Miah: Aku mintak maaf Aizah. Aku tak perasan anak kau main kat bilik air tadi. Tengok-tengok kepala dia dah berdarah…teruk lukanya Aizah?

Aizah: Sikit je…bengkak sikit ni. Dah letak ubat pun.

Miah: Laki aku yang suruh aku hantar Lili balik. Dia kerja shift malam pulak hari ni. Dia tak bagipun aku sentuh anak kau ni Aizah. Dia tau anak kau ni ada AIDS.

Aizah: Tak apalah, kebetulan; aku pun balik awal hari ni. Aku dah diberhentikan Miah.

Miah: La…Kak Senah berhentikan kau kerja?

(Aizah mengangguk)

Miah: Habis tu, kau nak buat apa sekarang ni?

Aizah: Entahlah…aku pun tak tau. Dah kena penyakit macam ni, bukannya senang nak cari kerja lain. Orang nak dekat dengan aku pun takut Miah. Dah lah aku ni tau memasak aje.

Miah: Tak cuba berubat ke?

Aizah: Semua orang tau AIDS tak ada penawarnya. Lagipun nak berubat ni pakai duit. Sekarangpun aku dah tak bekerja, entah macam mana aku nak tanggung anak-anak aku ni…

Miah: Kau baliklah kampung Aizah, jumpa keluarga kau.

Aizah: Dia orang dah buang aku Miah, ni semua pasal aku kahwin dengan Taufik dulu. Mungkin ni balasan dari Allah pada anak derhaka macam aku ni. Aku tak boleh balik kampung dalam keadaan macam ni.

Miah: Macam mana kau nak teruskan hidup dalam keadaan kau yang dah makin melarat ni? Kau dah makin lemah Aizah. Aku tengok pun tak tahan. (Air mata Miah mengalir)

Aizah: Ini perjuangan aku Miah. Ini ujian dan dugaan aku. Takdir untuk aku. Susah macam mana sekalipun aku kena hadapi jugak.

Miah: Aku cuba nak tolong kau Aizah…tapi kau tau ajelah laki aku tu…

Aizah: Tak apa, aku faham.

Anak Miah: Mak! Mak!

Miah: Eh, tu macam suara anak aku je tu…aku balik dululah Aizah. Bising pulak laki aku tu kang.

(Aizah mengangguk)

Aizah: Mintak maaf Miah, aku banyak susahkan kau.

Miah: Apapun yang terjadi pada kau, kita tetap kawan Aizah. Kau jangan risau.

Babak 6

Situasi: Di sebuah restoran.

Di dapur kedai, Rasyidah sedang duduk di meja bersama Kak Senah, tokei kedai makan itu. Wajah nampak serius. Rasyidah bersuara seakan berbisik.

Rasyidah: Orang berpenyakit macam tu, nak buat apa di simpan lagi? Buatnya berjangkit dengan kita karang, tak ke naya? Hisshh…ngeri saya kak oiii… penyakit tu bukannya ada ubatnya.

Kak Senah: Akak tau Syidah, memang sejak akak tau dia ada AIDS tu, akak dah terfikir nak berhentikan dia kerja. Tapi masalahnya, akak tak sampai hati… tak terkeluar kat mulut ni hah, selalu tersekat kat tekak je setiap kali akak nak cakap.

Rasyidah: Habis tu? Sampai bila akak nak biar? Sampai pelanggan-pelanggan semua lari? Hmmm…alamatnya tutuplah kedai akak ni esok-esok. Lagipun, cerita laki dia tu mati pasal AIDS, satu flat dah kecoh. Laki dia mati pun tak ada siapa yang ingin nak jenguk. Kalau akak tak berani cakap, biar Syidah ni yang
bukak mulut.

Ka Senah: Hissyy…kau ni Syidah, kalau iyapun, nanti-nantilah dulu, biar akak fikirkan caranya. Biar molek sikit didengar.

Rasyidah: Tak payah nak molek-molek bahasa kak…cakap tu biar straight to the point.

(Tiba-tiba Aizah masuk ke dapur)

Rasyidah: Hah, Aizah, mari sini, aku dengan Kak Senah ni ada benda nak bagitau.

(Raut wajah Rasyidah sedikit mencengil, Kak Senah agak ragu-ragu dengan tindakan Rasyidah. Aizah menghampiri kita dalam tanda tanya)

Aizah: Kenapa kak, apa yang penting sangat tu?

(Dia berdiri dihadapan mereka, terbatuk-batuk sedikit. Rasyidah yang sedang duduk, menutup hidungnya, kononnya khuatir dijangkiti)

Rasyidah: Kau tak tau ke penyakit kau tu boleh menyusahkan orang lain? Kau kan tau AIDS tu virus, tengok tangan kau tu pun dah mula tumbuh kudis-kudis. Hii…Kalau aku tengok pun tak berselera, inikan pulak pelanggan-pelanggan kedai ni. Kau nak tengok kedai ni bankrap ke Aizah?

(Aizah tunduk. Kak Senah menjeling Rasyidah.)
Kak Senah: Macam nilah Aizah, mintak maaflah kalau kata-kata akak ni mengguris perasaan Aizah, hmm…sebenarnya…sebenarnya…

Rasyidah: Sebenarnya Kak Senah ni dah lama nak kau berhenti kerja, tak reti-reti ke? Orang yang berpenyakit macam kau ni, tak sesuai bekerja kat kedai makan tau tak?

Aizah: Tapi kak, cuma memasak ni aje kemahiran yang saya ada. Kalau akak berhentikan saya, macam mana saya nak bagi anak-anak makan?

Rasyidah: Ah, itu kau punya pasallah.

Kak Senah: Syidah…

Aizah: Tolonglah kak…saya tak mintak nasib macam ni (Merayu)

Rasyidah: Siapa suruh berlakikan penagih dadah?

Kak Senah: Dahlah tu Syidah. Akak faham keadaan kau Aizah, tapi akak sendiri tak ada pilihan. Besar risikonya nanti pada perniagaan akak ni. Kau pun tau kan, restoran akak bukannya beruntung sangat.

(Aizah menangis)

Rasyidah: Kau tak payah fikir panjanglah Aizah, baik kau berhenti je…Kak Senah ni pun tak pening kepala.

Aizah: Kalau dah macam tu keputusannya, saya tak boleh nak buat apa lagi. Terima kasih Kak Senah kerana banyak bantu saya selama ni. Saya dah banyak terhutang budi pada akak.

Kak Senah: Eh, kau jangan cakap macam tu, kau pun banyak tolong akak kat restoran ni, cuma keadaan memaksa akak buat keputusan macam ni.

Aizah: Tak apalah kak…ini dah takdir saya, saya faham…

Kak Senah: Hmm…kau tunggu kejap.

(Kak Senah berlalu ke dalam sebuah bilik)

Rasyidah: Baguslah kau dapat terima. Kak Senah tu tak habis-habis fikir pasal kau aje.

Aizah diam tidak menjawab. Kak Senah kembali bersama beberapa keping wang.

Kak Senah: Ni Aizah, gaji kau untuk bulan ni, tak apalah, akak bagi penuh.

(Huluran Kak senah disambut Aizah)

Aizah: Terima kasih…maaf kalau-kalau saya ada buat salah silap sepanjang bekerja di sini.

(Dia menghulur salamnya. Kak Senah menyambut tapi tidak bagi Rasyidah. Dia membuang pandang ke arah lain)

Aizah: Saya pergi dulu kak…

(Kak Senah mengangguk. Hanya memerhati Aizah keluar dari restorannya)

Rasyidah: Heh…orang yang berpenyakit macam dia tu, tak ada tempat dalam masyarakat kita kak.

Kak Senah: Hissyy…kau jangan cakap macam tu Syidah, dia tu cuma mangsa keadaan…

Babak 5

Situasi: Dalam rumah Aizah.

(Aizah berdiri di muka pintu bilik anaknya)

Aizah: Tak tidur lagi Syafik?

(Syafik yang kelihatan duduk di birai katil membelek beg sekolahnya yang koyak)

Syafik: Beg sekolah Syafik dah koyak, macam mana Syafik nak pergi sekolah esok?

(Aizah menghampiri anaknya, dibelek beg sekolah yang dipegang anaknya)

Aizah: Nanti ibu belikan yang baru ya, tapi Syafik mesti janji dengan ibu, mesti rajin belajar.

Syafik: Kan Syafik dah dapat nombor satu.

Aizah: Iyalah, lain kali mesti kena dapat nombor satu lagi, boleh?

Syafik: Boleh!

Aizah: Hmm…macam tu lah anak ibu, anak ibu ni memang bijak kan?

(Syafik senyum, Aizah mengucup ubun-ubun anaknya. Kemudian dibetulkan selimut Ika yang sedang tidur)

Syafik: Ayah takkan balik lagi kan ibu?

(Aizah memandang sayu anaknya)

Aizah: Tak, sebab ayah Syafik dah tak ada lagi kat dunia ni. Dia dah berada dalam alam lain.

Syafik: Ayah jahat ya bu? Kawan-kawan kat sekolah kata ayah Syafik orang jahat.

Aizah: Jangan dengar kata kawan-kawan kat sekolah tu, ayah Syafik orang baik tau. Syafik mesti selalu doa untuk ayah, kan Syafik dah belajar sembahyang…

Syafik: Sekarang Syafik dah tak ada ayah lagi lah…

(Aizah segera usap kepala anaknya. Didakap anaknya erat-erat)

Aizah: Tak apa…Syafik masih ada ibu lagi sayang…Syafik masih ada ibu…

(Aizah menyeka airmata yang mengalir dipipinya)

Aizah: Dah malam dah ni…esok nak sekolah.

(Aizah menyandarkan beg sekolah Syafik pada dinding. Syafik sudahpun berbaring di sisi adiknya)

Syafik: Esok, ibu belikan beg sekolah baru ya.

Aizah: Iya…dah tidur…

(Aizah bangkit dari duduknya, lalu lampu bilik ditutup. Dia tersandar pada pintu bilik anaknya yang baru ditutup)

Aizah: Ya Allah, berikanlah aku kekuatan…

Babak 4

Situasi: Rumah Miah.

Miah berjalan pulang ke rumah.

Miah: Assalamualaikum. (Mengetuk pintu)

Suaminya membuka pintu.

Said: Baru balik? Ramai ke yang datang?

Miah: Tak ada orang bang…tadi Miah ajak, abang tak nak ikut sekali.

Said: Nak pergi rumah orang yang ada AIDS tu apa kejadahnya? Kot-kot berjangkit pulak nanti, dengan awak-awak sekali berpenyakit tau.

Miah: Tak baik abang cakap macam tu, dia bukannya nak jadi macam tu. Kalau tak kerana laki dia, Aizah tu tak menderita sampai macam tu. Kita ni kawan-kawan kenalah bagi sokongan.

Said: Alah, pandailah awak tu, nak bagi khutbah pulak. Hah tu, apa yang awak bawak tu?

Miah: Aizah bagi tadi, orang tak ada, makanan banyaklah lebih. (Miah ke dapur)

Said: Awak nak bunuh saya ke Miah? Buang-buang…

Miah: Sayang bang, kan rezeki tu…

Said: Saya kata buang-buanglah! (Miah merengus, dalam keterpaksaan dibuang bungkusan makanan ke dalam tong sampah)    

Babak3

Situasi: Rumah Aizah, sebuah rumah flat.

Malam itu Aizah mengadakan kenduri arwah di rumahnya. Tapi malang sekali, tidak ramai tetamu yang hadir. Cuma Imam, Bilal, seorang jemaah surau dan jiran sebelah rumahnya, Miah sahaja yang datang. Usai tahlil dan sedikit jamuan, mereka mula beredar dari rumah.

(Dihadapan pintu)

Imam: Orang dah makin kurang berjemaah di Surau, sebab tu tak ada orang yang nak dipanggil datang.

Aizah: Saya ada jemput jiran-jiran di sini, tapi nampaknya tak ada jugak yang sudi datang Pak Imam.

Imam: Tak apalah…yang penting doa kita pada arwahnya.

(Aizah mengangguk)

Aizah: Terima kasih Pak Imam, Bilal, Abang Sahak, sebab masih sudi bertahlil untuk arwah suami saya.

Imam: Dah tanggungjawab kami Aizah, pahala tu yang kita nak kejar. Dahlah, kami nak balik ni, tutup elok-elok tingkap-tingkap, pintu ni semua. Orang kalau nak buat jahat, mana kita nak tahu.

Aizah: Iyalah Pak Imam.

Imam: Assalamualaikum.

Aizah: Waalaikumussalam.

(Di belakangnya, Miah sedang berdiri turut memerhatikan tetamu jemputan itu pergi)

Miah: Aku pun nak balik jugak ni Zah, pinggan-pinggan kat dapur tu dah siap aku kemas kan.

Aizah: Eh, kau tak ambik ke lauk-lauk tu bawak balik? Banyak lebih tu…

Miah: Tak apa, tak payah. Aku dah masak dulu kat rumah tadi. Bawak balik karang tak ada siapa pulak yang nak makan.

Aizah: Alah…janganlah macam tu…kau tunggu sekejap aku bungkuskan.

(Miah menanti di luar rumah, Aizah kembali ke dapur dank e luar membawa bungkusan makanan)

Aizah: Nah Miah, bawak untuk anak-anak kau.

(Huluran Aizah disambut)

Aizah: Esok aku tumpangkan anak aku kat rumah kau lagi ya Miah, susah nak cari orang; yang nak jaga Lili tu. (wajah simpati)

Miah: Iyalah, aku faham, kau tak usah risaulah pasal Lili, hantar je ke rumah aku esok.

Aizah: Terima kasih, Miah.

Miah: Sama-sama. Aku balik dulu.

Aizah: Hah, iyalah…kirim salam Abang Said ya.

Miah: InsyaAllah.

Babak 2

Situasi: Sebuah Flat.

Dua orang wanita berjalan pulang ke rumah dari pasar. Di tangan masing-masing menjimbit beg plastik.

Halimah: Si Taufik laki Si Aizah tu meninggal malam tadi kau tak tau?

Suria : Innalillahiwainnailaihirojiun…bilanya kebumi?

Halimah: Pagi ni, kan subuh tadi ada buat pengumuman kat surau.

Suria : Ye ke? Eheh…saya terlajak solat subuh tadi, sedar-sedar je dah terang.

Halimah: Gitulah kau, solatpun dilangar-langgar.

Suria : Tak sengajalah Kak Limah, selalunya tak terlajak. Eh, tak salah saya, Taufik tu penagih dadah kan? Dulu selalu tersempak dengan dia dok lalok tepi tangga.

Halimah: Hmm…bukan takat penagih dadah, tu mati pasal AIDS lah tu. Dia mati tu pun hospital yang uruskan. Tak ada bawak balik rumah. Orang mati macam tu bukan boleh sebarang-sebarang orang yang mandikan.

Suria : Hisshh…habis tu Kak Aizah tu macam mana?

Halimah: Dia pun kena jugak, setahu akak anak dia yang kecik tu pun ada. Si Rasyidah yang bagi tau akak. Dia kena masa mengandungkan anak dia tu.

Suria : Astaghfirullahalazim…kesiannya,patutlah saya tengok tangan dia berkudis-kudis, dah anak-anak dia yang lain?

Halimah: Katanya tak ada, tak taulah bila dah tidur sama, makan sama. Kau rasa tak mustahil ke anak-anak dia tu pun boleh kena?

Suria : Entahlah kak, saya pun bukannya tau sangat. Tapi yang saya tau penyakit tu memang merbahayalah. Hmm…patutlah Kak Aizah tu macam kena pulau dengan orang-orang flat ni.

Halimah: Orang memang dah tak suka kat laki dia tu, dengan dia-dia sekalilah kena tempiasnya. Akak kalau tak ye, takut nak berbual-bual dengan Aizah tu bila dah tau dia ada penyakit tu.

(Sejurus itu van jenazah yang membawa Aizah dan anak-anaknya tiba di hadapan flat, kebetulan juga Halimah dan Suria ada di tempat yang sama)

Halimah: Eh, tu bukan Aizah dengan anak-anak dia ke tu?

(Mereka memerhati ke arah van)

Suria : Iyalah tu, naik van jenazah tu, baru balik dari kuburlah tu agaknya.

Halimah: Ni, akak naik dululah Suria, nanti karang terserempak pulak dengan Si Aizah tu karang.

Suria : Iyalah saya pun nak naik jugak.

(Mereka melangkah laju-laju menuju ke lif)

Aizah : Kak Limah! Suria! (menjerit)

(Suria menoleh, Halimah terhenti)

Aizah : Tunggu-tunggu. (Aizah mempercepatkan langkah ke arah mereka)

Aizah : Dari pasar ke?

Halimah: Haah, takziahlah Aizah, pasal laki kau tu.

Aizah : Dah ajal dia kak…lepas isyak saya nak buat kenduri arwah, jemputlah datang ya, ajak suami sekali.

Halimah: Hah, tengoklah nanti.

Aizah : Kau pun Suria.

Suria : InsyaAllah…InsyaAllah…

Halimah: Kami naik dululah ya Aizah.

(Halimah dan suria sudah memanjat anak tangga, kala Aizah menekan punat lif)

Aizah : Eh, tak naik lif sekali ke kak?

Halimah: Tak apalah…kami naik tangga je, nak exercise.

(Aizah memandang mereka kehairanan)

Tekad Anak Gelandangan.

Babak 1

Situasi: Tanah Perkuburan

Dari liang lahad yang baru selesai digali, sekujur mayat yang berbalut dengan plastik hitam dibawa turun ke bawah. Hanya tiga orang yang membantu menguruskan pengebumian, termasuk seorang Imam. Masing-masing memakai sarung tangan dan penutup muka. Di tebing kubur, Aizah yang sedang menggendong anaknya Lili, Syafik dan Ika berdiri memerhati. Aizah menangis sambil tangan kiri mengusap kepala Ika yang berdiri di sisinya.

Talkin terakhir dibacakan oleh Imam.

Imam: Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu. Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak diseksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW. Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin. Al-Fatihah…

Masing-masing meraup wajah setelah bacaan selesai dan mula beransur dari kawasan perkuburan.

Imam: Dah tinggal empat beranak aje kamu sekarang ni. Boleh ke kamu tanggung belanja anak-anak?

Aizah: Selama ni pun saya saja yang bekerja, Pak Imam. Selagi tulang empat kerat ni masih berguna, saya teruskanlah mana yang termampu.

(Pak Imam seluk kocek seluar, keluarkan not RM50 lalu dihulur pada Aizah)

Imam: Nah, ambillah duit ni, buat tampung mana-mana yang perlu.

(Aizah terkejut)

Aizah: Eh? Nak buat apa susah-susah ni Pak Imam? (Batuk) Saya masih ada simpanan, cukup untuk kami berempat.

Imam: Tak apa…ini sedekah, ambillah lagipun kamu tu tak sihat. Sekurang-kurangnya duit ni boleh buat beli apa-apa yang patut.

(Aizah sambut huluran Pak Imam, kemudian Pak Imam tunduk dihadapan Syafik sambil keluarkan not 5 ringgit lalu diberikan padanya)

Imam: Ini untuk kamu dengan adik kamu . (Kepala Syafik diusap) Belajar elok-elok, jadi anak yang baik. Dengar cakap mak kamu tu, jangan nakal-nakal ya… (senyum)

(Syafik angguk, senyum. Pak Imam berdiri semula)

Aizah: Terima kasih Pak Imam, untuk semua ni. Dalam pada orang memandang buruk saya, tapi masih ada lagi yang punya hati. Tak tau macam mana saya nak balas pertolongan Pak Imam pada saya hari ini. (Aizah sebak)

Imam: Segala yang baik semuanya datang dari Allah. Bersabarlah dan jangan sesekali lupa padaNya kerana Allah hanya menguji hambanya yang disayangi…

(Aizah angguk, mereka sudahpun melewati sebuah van jenazah, dia berdiri pada tingkap van. Halim sudah berada di tempat duduk pemandu)

Imam: Halim, kamu tolong hantarkan Aizah dengan anak-anaknya balik ya, sebab aku cuma bawak motor je tu.

(Halim angguk)

Halim: Boleh, tak ada masalah…

(Aizah dan anak-anaknya naik ke dalam van jenazah, Pak Imam membantu menutup pintu. Pak Imam masih berdiri di muka tingkap untuk berpesan sebelum mereka beredar)

Imam: Tidak ada orang yang lebih bahagia dari orang yang beriman kepada Allah. Anggaplah semua urusan itu mudah, dan bersabarlah dengan kepahitannya…Jaga diri kamu dan anak-anak, Aizah.

Aizah: InsyaAllah, selagi hayat saya masih ada…

Imam: Ok Halim, hati-hati memandu…Assalamualaikum.

Halim dan Aizah: Waalaikumussalam.

Lalu van jenazah dipandu keluar dari perkarangan tanah perkuburan.