Saturday, January 22, 2011

Babak 13

Situasi: Sebuah kawasan bandar.

Aizah berjalan di deretan kedai-kedai untuk mencari kerja. Dia memasuki beberapa kedai untuk bertanyakan tentang pekerjaan. Pada mulanya dia gagal. Namun setelah puas berjalan, dia ternampak sebuah kedai pakaian yang tertulis “Pekerja wanita diperlukan segera”, Aizah terus mencuba nasibnya.

Aizah: Sini masih ada kerja kosong tauke?

Ah Seng: Ada, itu iklan belum turun makna ada lah…

Aizah: Kerja apa tu tauke?

Ah Seng: Kerja kemas-kemas kedailah…jaga kedai…you mau kerja ka?

Aizah: Mau, itu gaji berapa tauke?

Ah Seng: Tujuh ratus, kerja pukul lapan balik pukul tujuh. you apa pandai? you pandai jahit?

Aizah: Boleh sikit-sikit tauke.

Ah Seng: Kita sini ambik baju orang alter, kalau you pandai jahit lagi bagus. Bila you mau mula kerja?

Aizah: Bila-bila boleh tauke, saya tak kisah…

Ah Seng: Esoklah ha…sekarang sudah petang. Esok you datang pukul lapan ha…

Aizah: Ok..ok…

Ah Seng: Eh, you siapa nama?

Aizah: Saya Aizah tauke…saya balik dulu tauke

Ah Seng: Ya…ya…

(Aizah keluar dari kedai penuh kegembiraan. Sebelum pulang dia sempat singgah ke sebuah kedai menjual beg sekolah. Sempat dibelinya dua buah. Satu untuk Syafik, satu untuk Ika. Setibanya di rumah, Aizah nampak ada selipar Miah di luar rumah. Dia segera menguak pintu. Miah keluar sambil menyeka air matanya)

Miah: Aizah…

Aizah: Kenapa ni Miah, kenapa kau nangis ni?

Miah: Lili…pergi tengok Lili…

(Aizah terlepas beg yang dijimbitnya, dia berlari menuju ke biliknya)


Bersambung…

Babak 12

Situasi: Di bilik Aizah.

Aizah duduk di atas sejadah. Bertelekung sambil memohon doa pada Yang Esa.

Aizah: Ya Allah, Ya Tuhanku. Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mendengar. Yang memelihara seluruh kejadian dilangit dan dibumi. Berikanlah aku kekuatan dalam menghadapi segala dugaanMu Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu yang lemah, yang sentiasa mahukan petunjuk dariMu sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kesusahan dan kesedihan. Aku berlindung kepadaMu dari terbelit oleh hutang dan tertindas oleh orang lain. Ya Allah bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari kezaliman…Amin Ya Rabbal A’ lamin…

(Selesai solat, Aizah capai sebuah Al Quran dari sebuah rak disinya, ketika itu Syafik masuk ke bilik, duduk mencangkung)

Syafik: Ada orang datang bu…

Aizah: Siapa?

Syafik: (Jungkit bahu) orang tu selalu datang.

(Aizah mengerut dahi tapi tetap bangun dan melangkah menuju ke pintu yang sudah sedia terbuka)

Mr. Mohan: Hello Aizah!

Aizah: Eh? Mr Mohan…nak ambik duit sewa rumah ya?

Mr. Mohan: Iyalah…sudah cukup bulan bukan?

Aizah: Ya saya tau, Mr Mohan tak mau masuk?

Mr Mohan: Tak apa, tak apa…saya tunggu luar.

(Aizah masuk ke biliknya. Diambil beg duit dari dalam laci. Dikeluarkan not tiga ratus lima puluh, hanya lima puluh ringgit sahaja yang tinggal. Aizah melepaskan nafasnya. Disimpan semula beg duit dan terus berlalu ke hadapan)

Aizah: Nah Mr Mohan, tiga ratus lima puluh ya.

Mr Mohan: Terima kasih, terima kasih. Saya banyak suka sama awaklah, tiap-tiap bulan sewa mesti tak miss bayar. Rumah lain saya banyak susah mau ambik sewalah. Mesti lambat.

Aizah: Hutang mesti kena bayar Mr Mohan. Kalau tak bayar, nanti mati susahlah…

Mr. Mohan: Ya, ya…betul-betul…eh, saya dengar suami awak sudah mati.

(Aizah angguk perlahan)

Aizah: Sudah seminggu lebih Mr Mohan.

Mr Mohan: Banyak kesianlah sama awak, mesti banyak mau sabar ya?

Aizah: Terima kasih Mr Mohan.

Mr Mohan: Oklah…saya balik dulu Aizah, terima kasih…

Aizah: Sama-sama.

Friday, January 21, 2011

Babak 11

Situasi: Rumah Aizah.

Aizah menepuk anaknya Lili yang baru tidur. Dirasa kepala Lili yang mulai hangat. Kemudian dilihatnya tangan Lili yang sudah mula ditumbuhi bintik-bintik merah. Dia mengeluh. Aizah menangis sambil mengambil tuala kecil yang telah direndam dalam air. Di perah lalu diletakkan pada kepala Lili. Air mata Aizah mengalir.

Syafik: Eh? Kenapa ibu menangis?

(Tiba-tiba Syafik dan Ika muncul dari pintu)
Aizah: Anak ibu dah balik? Tak perasan pun…

Syafik: Syafik ingatkan ibu tak ada, ibu tak kerja?

(Aizah menggeleng)

Syafik: Ibu sedih ke?

(Kepala anaknya diusap)

Aizah: Kalau ibu tak ada, Syafik mesti jaga adik-adik ya…

Syafik: Ibu nak pergi mana?

(Aizah tidak menjawab soalan anaknya, diambil beg yang masih disandang Syafik)

Aizah: Ibu lupa nak belikan beg Syafik…

Syafik: Tak apa…Syafik dah betulkan dah…

(Aizah belek beg sekolah Syafik yang cuma diletakkan pin pada bahagian yang terkoyak)

Aizah: Tak tahan ni…nak kena beli yang baru jugak ni…

Ika: Ika pun nak beg jugak…

(Tiba-tiba Ika yang berdiri di sisi ibunya bersuara)

Aizah: Beg Ika kan boleh guna lagi…

Ika: Ika nak beg baru…yang ada gambar kartun tu…

(Aizah senyum)

Aizah: Iyalah…nanti ibu belikan, dah pergi salin baju, lepas tu makan.

(Ika melonjak kegembiraan)

Ika: Yeaaa! Dapat beg baru!!! (Ika terus berlalu keluar)

(Syafik mendekati ibunya)

Syafik: Ibu nak tinggalkan Syafik dengan Ika dengan Lili ke?

Aizah: Siapa kata…

Syafik: Tadi Ibu suruh Syafik jaga adik?

Aizah : (Senyum) Iyalah..kalau ibu keluar ke, Syafik kenalah jaga adik-adik. Takkan Ibu nak bawak semua, penatlah ibu nak jaga…

Syafik: Tapi ibu balikkan?

Aizah: La…ibu mestilah balik…

(Syafik senyum dan terus berlari keluar, Aizah hanya memerhati dengan hati sebak)

Babak 10

Situasi: Di gerai Aizah

Lili sedang leka bermain di tepi gerainya.

Aizah: Lili, tak mau main pasir tu, kotor. (Lili bangun, beralih dekat dengan ibunya)

Seorang budak berumur lingkungan enam tahun dengan berbaju sekolah tadika berdiri di hadapan gerai Aizah.

Aizah: Adik nak beli kuih?

(Budak itu menggeleng)

Aizah: Habis tu adik nak apa?

Budak: Mak cakap tak boleh beli kuih acik.

Aizah: Kenapa? Acik buat kuih sedap tau…

Budak: Mak cakap kalau makan kuih acik boleh mati.

Aizah: Eh…kenapa pulak macam tu?

(Pada waktu itu Rasyidah dan Pak Ya muncul)

Rasyidah: Hei Boboy! Kau buat apa pulak kat situ?

(Rasyidah meluru ke arah anaknya)

Rasyidah: Kau hasut anak aku ni beli kuih kau ya Aizah?

Aizah: Tak…anak kau memang tak nak beli kuih aku ni Syidah.

Rasyidah: Ah! Alasan kau je tu. Tengok Pak Ya, anak saya pun dah nak jadi mangsa dah ni, macam ni pun Pak Ya tak nak ambik tindakan?

Aizah: Tindakan apa pulak ni?

Pak Ya: Aizah…ramai orang kat sini dah tau pasal penyakit Aizah tu. Aizah tak boleh buat jualan macam ni, Aizah dah merisikokan orang lain.

Aizah: Saya cuma cari rezeki saja Pak Ya, kalau tidak, mana saya nak cari duit, tanggung belanja anak-anak, sewa rumah lagi…orang lain takkan faham.

Rasyidah: Masalah sendiri aje kau kira, masalah orang yang sakit mata tengok kau berjual kat sini, kau tak nak ambik tau?

Pak Ya: Saya terpaksa halang awak dari terus jual kuih ni Aizah. Saya perlu fikirkan soal keselamatan orang ramai. Saya cuma tak nak nanti, orang lebih ramai buat aduan, nanti orang kata saya ni tak buat kerja pulak.

Rasyidah: Betul cakap Pak Ya tu, tak kiralah kau masak guna sarung tangan ke, sarung kaki ke, sarung muka ke…tapi kalau virus tu nak masuk dalam masakan kau dia masuk jugak. Entah-entah anak-anak kau tu pun dah bervirus agaknya.

Aizah : Syidah, ni hal aku je, kau jangan nak babit-babitkan anak-anak aku pulak. Dia orang tu tak berdosa.

Rasyidah: Ada ke aku bercakap soal dosa?

Pak ya: Dah, tak payahlah korang nak bertengkar kat sini. Malu dek orang je. Aizah, saya perintahkan awak tutup gerai awak ni. Tak payah bukak lagi esok. Banyak lagi kerja lain yang awak boleh buat.

(Aizah terduduk)

Aizah: Allahuakhbar…

Pak Ya: Saya minta maaf Aizah. Keputusan ni untuk semua orang.

(Aizah diam tidak menjawab, hanya memerhati mereka pergi dengan pandangan sayu)

Rasyidah: Meh Boboy, nak pergi sekolah pun sempat lagi menyinggah ya.

(Pantas tangan Rasyidah memiat telinga anaknya, sambil menyeret anaknya pergi)

Babak 9

Situasi: Sebuah bilik gerakan persatuan flat.

(Rasyidah berdiri marah-marah pada ketua persatuan yang kebetulan ada di situ)

Rasyidah: Saya bukannya apa Pak Ya, tadipun saya ada nampak sorang budak, nyaris-nyaris je nak makan kuih Aizah tu, nasib baik saya cepat halang. Mana kita tau kalau-kalau virus AIDS tu ada dalam kuih yang dia buat tu ke. Dia tu dah termasuk dalam kategori pesakit kronik tu tau.

Pak Ya: Boleh ke sesenang tu, virus tu berjangkit? Pak Ya pun ada baca pasal AIDS ni, kan ke penyakit ni berjangkit melalui darah?Kalau setakat bersentuh kulit ni tak berjangkit penyakit tu…

Rasyidah: Mana Pak Ya tau? Entah-entah jari dia terluka ke masa masak. Lepas tu darah dia teramasuk pulak dalam masakan tu. Pak Ya tau tak? Orang kalau nak kebumikan mayat pesakit AIDS ni siap dengan sarung tangan, sarung muka. Lepas tu tangan tu kena pulak cuci dengan Clorox, punyalah takut dengan
dengan penyakit ni. Itu pesakit yang dah mati, inikan pulak pesakit yang masih hidup. Virus ni benda yang tak nampak Pak Ya…

Pak Ya: Yang tak nampak tu yang susah nak cakap…tapi betul jugak kata kamu tu. Iyalah, apa-apapun kena fikir keselamatan orang lain jugak. Marilah kita pergi bagitau dia suruh tutup gerainya tu.

Rasyidah: Dah moh cepat…benda macam ni tak boleh berlengah. Entah dah berapa ramai dah beli kuih tu.

(Mereka bergegas ke gerai Aizah)

Babak 8

Situasi: Sebuah gerai berdekatan dengan flat.

Menggunakan sedikit simpanan yang ada, Aizah membuka sebuah gerai untuk menjual nasi lemak dan kuih muih setiap pagi. Tapi jualannya tidak mendapat sambutan. Ada yang beli hanya dari pengunjung luar yang tidak tahu tentang penyakitnya. Rasyidah, yang juga salah seorang penghuni flat, ternampakkan seorang pembeli yang baru sahaja membeli kuih di gerai Aizah terus saja menegur lelaki itu.

Rasyidah: Dik, dik, kejap-kejap…awak tau tak orang yang jual kuih tu ada AIDS. Awak tak takut ke beli kuih dia?

Lelaki: Iya ke? Ishh…Manalah saya tau…

Rasyidah: Hah ni akak nak bagitau. Tak usahlah awak makan kuih tu. Awak tak perasan ke tangan dia tu ada tumbuh kudis-kudis? Hisshh…kalau akak, akak geli…

Lelaki: Lah, saya tak perasan pulak. Saya buang ajelah kuih ni nanti.

Rasyidah: Hmm…elok sangat lah tu, lagi elok kalau awak pergi mintak duit awak balik. Buat rugi je beli kuih tu, bukannya boleh dimakan.

Lelaki: Tak apalah, saya kira sedekah ajelah duit saya tu, terima kasih kak bagitau.

(Rasyidah mengangguk. Lelaki itu berlalu pergi. Rasyidah tergesa-gesa melangkah ke gerai Aizah)

Rasyidah: Hei Aizah, kau ni tak reti-reti bahasa ke? Orang lain tak boleh makan air tangan kau tau tak? Kalau kau jual kuih macam ni, makin ramai orang lain yang tak tau pasal penyakit kau tu beli pulak kuih kau ni…kau tak rasa bersalah ke?

Aizah: Aku nak rasa bersalah apa pulak Syidah. Bukannya aku jual benda haram. Lagipun kalau kau takut sangat berjangkit, ni aku dah pakai sarung tangan dah ni. Aku memasak pun aku pakai sarung tangan semua ni.

Rasyidah: Kau ni memang degil tau Aizah…Dah lah degil, menyusahkan orang pulak tu sedarlah diri kau tu berpenyakit. Tak apa, aku nak adukan perkara ni pada Persatuan flat ni. Tau lah nasib kau nanti.

(Rasyidah terus berlalu pergi. Aizah mengeluh keresahan)

Babak 7

Situasi: Rumah Aizah.

Ketika berada di hadapan pintu, Aizah terdengar suara anaknya menangis, dalam kelam kabut cepat-cepat dibuka pintu rumah. Kelihatan Syafik sedang memangku Lili yang masih merengek. Dahinya berdarah. Di sisi Syafik, Ika turut menangis.

Aizah: Lailahailallah…apa dah jadi ni Syafik? (Cepat-cepat dipangku Lili)

Syafik: Cik Miah tadi hantar Lili masa Syafik balik sekolah.

Aizah: Iyalah…kenapa boleh jadi sampai berdarah-darah ni?

Syafik: Tak tau

Aizah: Masa Cik Miah hantar, kepala Lili dah luka?

(Syafik angguk)

Aizah: Pergi ambik kain bersih dengan air

(Aizah memerintah Syafik. Syafik bingkas bangun)

Aizah: Ika…kenapa pulak menangis ni?

Ika: Ika takut…

Aizah: Takut apa?

Ika: Takut Lili jadi macam ayah…

Aizah: Tak, tak jangan takut…sikit je ni, kejap lagi bubuh ubat baiklah…

(Syafik sampai membawa kain dan semangkuk air)

Aizah: Ambik kotak ubat atas peti sejuk Syafik

(Syafik berlalu semula ke dapur. Aizah membersihkan luka anaknya. Lili sudah berhenti menangis. Hanya tersedu-sedu menahan sakit. Syafik kembali membawa kotak kecemasan)

Aizah: Macam manalah boleh jadi macam ni? Terhantuk ke apa ni?

Syafik: Cik Miah cakap Lili jatuh dalam bilik air.

(Tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam. Syafik berlari ke pintu. Miah sedang berdiri di situ)

Syafik: Ibu dah balik Cik Miah.

(Miah menjengah kepalanya ke dalam rumah)

Miah: Aku mintak maaf Aizah. Aku tak perasan anak kau main kat bilik air tadi. Tengok-tengok kepala dia dah berdarah…teruk lukanya Aizah?

Aizah: Sikit je…bengkak sikit ni. Dah letak ubat pun.

Miah: Laki aku yang suruh aku hantar Lili balik. Dia kerja shift malam pulak hari ni. Dia tak bagipun aku sentuh anak kau ni Aizah. Dia tau anak kau ni ada AIDS.

Aizah: Tak apalah, kebetulan; aku pun balik awal hari ni. Aku dah diberhentikan Miah.

Miah: La…Kak Senah berhentikan kau kerja?

(Aizah mengangguk)

Miah: Habis tu, kau nak buat apa sekarang ni?

Aizah: Entahlah…aku pun tak tau. Dah kena penyakit macam ni, bukannya senang nak cari kerja lain. Orang nak dekat dengan aku pun takut Miah. Dah lah aku ni tau memasak aje.

Miah: Tak cuba berubat ke?

Aizah: Semua orang tau AIDS tak ada penawarnya. Lagipun nak berubat ni pakai duit. Sekarangpun aku dah tak bekerja, entah macam mana aku nak tanggung anak-anak aku ni…

Miah: Kau baliklah kampung Aizah, jumpa keluarga kau.

Aizah: Dia orang dah buang aku Miah, ni semua pasal aku kahwin dengan Taufik dulu. Mungkin ni balasan dari Allah pada anak derhaka macam aku ni. Aku tak boleh balik kampung dalam keadaan macam ni.

Miah: Macam mana kau nak teruskan hidup dalam keadaan kau yang dah makin melarat ni? Kau dah makin lemah Aizah. Aku tengok pun tak tahan. (Air mata Miah mengalir)

Aizah: Ini perjuangan aku Miah. Ini ujian dan dugaan aku. Takdir untuk aku. Susah macam mana sekalipun aku kena hadapi jugak.

Miah: Aku cuba nak tolong kau Aizah…tapi kau tau ajelah laki aku tu…

Aizah: Tak apa, aku faham.

Anak Miah: Mak! Mak!

Miah: Eh, tu macam suara anak aku je tu…aku balik dululah Aizah. Bising pulak laki aku tu kang.

(Aizah mengangguk)

Aizah: Mintak maaf Miah, aku banyak susahkan kau.

Miah: Apapun yang terjadi pada kau, kita tetap kawan Aizah. Kau jangan risau.