Friday, January 21, 2011

Babak 6

Situasi: Di sebuah restoran.

Di dapur kedai, Rasyidah sedang duduk di meja bersama Kak Senah, tokei kedai makan itu. Wajah nampak serius. Rasyidah bersuara seakan berbisik.

Rasyidah: Orang berpenyakit macam tu, nak buat apa di simpan lagi? Buatnya berjangkit dengan kita karang, tak ke naya? Hisshh…ngeri saya kak oiii… penyakit tu bukannya ada ubatnya.

Kak Senah: Akak tau Syidah, memang sejak akak tau dia ada AIDS tu, akak dah terfikir nak berhentikan dia kerja. Tapi masalahnya, akak tak sampai hati… tak terkeluar kat mulut ni hah, selalu tersekat kat tekak je setiap kali akak nak cakap.

Rasyidah: Habis tu? Sampai bila akak nak biar? Sampai pelanggan-pelanggan semua lari? Hmmm…alamatnya tutuplah kedai akak ni esok-esok. Lagipun, cerita laki dia tu mati pasal AIDS, satu flat dah kecoh. Laki dia mati pun tak ada siapa yang ingin nak jenguk. Kalau akak tak berani cakap, biar Syidah ni yang
bukak mulut.

Ka Senah: Hissyy…kau ni Syidah, kalau iyapun, nanti-nantilah dulu, biar akak fikirkan caranya. Biar molek sikit didengar.

Rasyidah: Tak payah nak molek-molek bahasa kak…cakap tu biar straight to the point.

(Tiba-tiba Aizah masuk ke dapur)

Rasyidah: Hah, Aizah, mari sini, aku dengan Kak Senah ni ada benda nak bagitau.

(Raut wajah Rasyidah sedikit mencengil, Kak Senah agak ragu-ragu dengan tindakan Rasyidah. Aizah menghampiri kita dalam tanda tanya)

Aizah: Kenapa kak, apa yang penting sangat tu?

(Dia berdiri dihadapan mereka, terbatuk-batuk sedikit. Rasyidah yang sedang duduk, menutup hidungnya, kononnya khuatir dijangkiti)

Rasyidah: Kau tak tau ke penyakit kau tu boleh menyusahkan orang lain? Kau kan tau AIDS tu virus, tengok tangan kau tu pun dah mula tumbuh kudis-kudis. Hii…Kalau aku tengok pun tak berselera, inikan pulak pelanggan-pelanggan kedai ni. Kau nak tengok kedai ni bankrap ke Aizah?

(Aizah tunduk. Kak Senah menjeling Rasyidah.)
Kak Senah: Macam nilah Aizah, mintak maaflah kalau kata-kata akak ni mengguris perasaan Aizah, hmm…sebenarnya…sebenarnya…

Rasyidah: Sebenarnya Kak Senah ni dah lama nak kau berhenti kerja, tak reti-reti ke? Orang yang berpenyakit macam kau ni, tak sesuai bekerja kat kedai makan tau tak?

Aizah: Tapi kak, cuma memasak ni aje kemahiran yang saya ada. Kalau akak berhentikan saya, macam mana saya nak bagi anak-anak makan?

Rasyidah: Ah, itu kau punya pasallah.

Kak Senah: Syidah…

Aizah: Tolonglah kak…saya tak mintak nasib macam ni (Merayu)

Rasyidah: Siapa suruh berlakikan penagih dadah?

Kak Senah: Dahlah tu Syidah. Akak faham keadaan kau Aizah, tapi akak sendiri tak ada pilihan. Besar risikonya nanti pada perniagaan akak ni. Kau pun tau kan, restoran akak bukannya beruntung sangat.

(Aizah menangis)

Rasyidah: Kau tak payah fikir panjanglah Aizah, baik kau berhenti je…Kak Senah ni pun tak pening kepala.

Aizah: Kalau dah macam tu keputusannya, saya tak boleh nak buat apa lagi. Terima kasih Kak Senah kerana banyak bantu saya selama ni. Saya dah banyak terhutang budi pada akak.

Kak Senah: Eh, kau jangan cakap macam tu, kau pun banyak tolong akak kat restoran ni, cuma keadaan memaksa akak buat keputusan macam ni.

Aizah: Tak apalah kak…ini dah takdir saya, saya faham…

Kak Senah: Hmm…kau tunggu kejap.

(Kak Senah berlalu ke dalam sebuah bilik)

Rasyidah: Baguslah kau dapat terima. Kak Senah tu tak habis-habis fikir pasal kau aje.

Aizah diam tidak menjawab. Kak Senah kembali bersama beberapa keping wang.

Kak Senah: Ni Aizah, gaji kau untuk bulan ni, tak apalah, akak bagi penuh.

(Huluran Kak senah disambut Aizah)

Aizah: Terima kasih…maaf kalau-kalau saya ada buat salah silap sepanjang bekerja di sini.

(Dia menghulur salamnya. Kak Senah menyambut tapi tidak bagi Rasyidah. Dia membuang pandang ke arah lain)

Aizah: Saya pergi dulu kak…

(Kak Senah mengangguk. Hanya memerhati Aizah keluar dari restorannya)

Rasyidah: Heh…orang yang berpenyakit macam dia tu, tak ada tempat dalam masyarakat kita kak.

Kak Senah: Hissyy…kau jangan cakap macam tu Syidah, dia tu cuma mangsa keadaan…

No comments:

Post a Comment