Saturday, January 22, 2011

Babak 12

Situasi: Di bilik Aizah.

Aizah duduk di atas sejadah. Bertelekung sambil memohon doa pada Yang Esa.

Aizah: Ya Allah, Ya Tuhanku. Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mendengar. Yang memelihara seluruh kejadian dilangit dan dibumi. Berikanlah aku kekuatan dalam menghadapi segala dugaanMu Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu yang lemah, yang sentiasa mahukan petunjuk dariMu sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kesusahan dan kesedihan. Aku berlindung kepadaMu dari terbelit oleh hutang dan tertindas oleh orang lain. Ya Allah bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari kezaliman…Amin Ya Rabbal A’ lamin…

(Selesai solat, Aizah capai sebuah Al Quran dari sebuah rak disinya, ketika itu Syafik masuk ke bilik, duduk mencangkung)

Syafik: Ada orang datang bu…

Aizah: Siapa?

Syafik: (Jungkit bahu) orang tu selalu datang.

(Aizah mengerut dahi tapi tetap bangun dan melangkah menuju ke pintu yang sudah sedia terbuka)

Mr. Mohan: Hello Aizah!

Aizah: Eh? Mr Mohan…nak ambik duit sewa rumah ya?

Mr. Mohan: Iyalah…sudah cukup bulan bukan?

Aizah: Ya saya tau, Mr Mohan tak mau masuk?

Mr Mohan: Tak apa, tak apa…saya tunggu luar.

(Aizah masuk ke biliknya. Diambil beg duit dari dalam laci. Dikeluarkan not tiga ratus lima puluh, hanya lima puluh ringgit sahaja yang tinggal. Aizah melepaskan nafasnya. Disimpan semula beg duit dan terus berlalu ke hadapan)

Aizah: Nah Mr Mohan, tiga ratus lima puluh ya.

Mr Mohan: Terima kasih, terima kasih. Saya banyak suka sama awaklah, tiap-tiap bulan sewa mesti tak miss bayar. Rumah lain saya banyak susah mau ambik sewalah. Mesti lambat.

Aizah: Hutang mesti kena bayar Mr Mohan. Kalau tak bayar, nanti mati susahlah…

Mr. Mohan: Ya, ya…betul-betul…eh, saya dengar suami awak sudah mati.

(Aizah angguk perlahan)

Aizah: Sudah seminggu lebih Mr Mohan.

Mr Mohan: Banyak kesianlah sama awak, mesti banyak mau sabar ya?

Aizah: Terima kasih Mr Mohan.

Mr Mohan: Oklah…saya balik dulu Aizah, terima kasih…

Aizah: Sama-sama.

No comments:

Post a Comment